GEORGE TOWN: Perbadanan Ketua Menteri (CMI) akan mula beroperasi secara bebas mulai 1 Julai, dengan akaun terauditnya dijangka dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bermula tahun depan.
Dalam ucapan penggulungannya di persidangan DUN hari ini, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata laporan kewangan pertama itu akan merangkumi tempoh enam bulan yang berakhir pada 31 Disember 2026, dan akan diaudit oleh Ketua Audit Negara sebelum dibentangkan di DUN pada 2027.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang Fauzi Yusoff (PN-Sungai Dua) dan Izhar Shah Ariff Shah (PN-Seberang Jaya), yang membangkitkan isu mengenai pengauditan, hasil, serta geran negeri bagi CMI.
Pada Isnin, akhbar The Star melaporkan bahawa Fauzi mempersoalkan mengapa Chow gagal membentangkan penyata kewangan dan laporan Ketua Audit Negara mengenai akaun tersebut, walaupun pindaan kepada Enakmen Perbadanan Ketua Menteri 2009 mengehendaki ketua menteri berbuat demikian.
Meskipun CMI menyelia syarikat berkaitan kerajaan negeri, ia sebelum ini beroperasi tanpa akaun teraudit yang berasingan dibentangkan di DUN.
Chow berkata CMI ditubuhkan di bawah enakmen 2009, yang mana ia berfungsi sebagai satu unit di dalam Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN).
Enakmen tersebut tidak memberi kuasa kepada CMI untuk membuka akaun berasingan, menyediakan penyata kewangannya sendiri, atau menjalankan pengauditan berasingan. Kewangan, bajet operasi, dan hasil pendapatannya diselia oleh pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Chow berkata pihak negeri kemudiannya menyemak semula pengaturan itu dan mendapati ‘sesuatu tidak kena’, yang membawa kepada pindaan pada tahun 2021 bagi membolehkan CMI beroperasi sebagai syarikat berhad swasta yang berasingan, lengkap dengan kakitangan, akaun, dan proses auditnya sendiri.
Walau bagaimanapun, beliau berkata peralihan itu tidak dapat dilaksanakan dengan segera disebabkan oleh pandemik Covid-19, implikasi kos, serta keperluan untuk menstruktur semula organisasi, memandangkan CMI hanya mempunyai 12 orang kakitangan dari tahun 2022 hingga 2024.

